Alhamdulillah, pada usia
yang bakal mencecah tiga dekad ini, saya direzekikan oleh Allah SWT untuk
mengenali satu hari kebesaran Allah SWT iaitu Malam Nisfu Sya’ban. Sejujurnya,
saya pada imbasan sejarah kehidupan tidak mempunyai keinginan untuk mengetahui
Malam Nisfu Sya’ban. Pada saya, ianya sesuatu sambutan kebiasaan bagi
masyarakat Islam. Sehinggalah satu ketika Allah SWT memberikan rezeki kepada
saya untuk belajar mengenali seorang insan yang sangat mulia di sisi Allah SWT,
pembawa rahmat sekalian alam, Nabi Muhammad s.a.w melalui guru yang dikasihi Al
Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin As Sanusi.
Makalah ini merupakan
ringkasan dari rujukan utama saya Kelebihan
Malam Nisfu Sya’ban oleh Al Muhaddith Al Hafiz Syeikh Salim Al Sanhuri
Al Maliki r.a, diterjemahkan oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin As
Sanusi. Tujuannya adalah untuk mengingatkan diri saya tentang kelebihan Malam
Nisfu Sya’ban dan bagaimana Rasulullah s.a.w menyambut malam yang istimewa ini.
Juga saya kongsikan buat pembaca semoga bertambah kecintaan kita kepada
Rasulullah s.a.w.
Dalam usaha kita untuk
lebih mengenali, mencintai dan akhirnya terbit kerinduan kepada Rasulullah
s.a.w, di antara jalannya ialah dengan mengambil tahu dan berusaha mencontohi
apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di Bulan Sya’ban. Kurang daripada 15 hari sahaja lagi akan datang bulan yang penuh mulia dan Bulan Barakah, Bulan
Ramadhan Al Mubarak. Untuk lebih menghayati Bulan Ramadhan, Bulan Rejab dan Bulan
Sya’ban dijadikan kelas persediaan untuk memasuki gerbang Ramadhan.
Mengenali Bulan Sya’ban dan Malam Nisfu Sya’ban
Jika Bulan Rejab dikenali
dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, maka Bulan Sya’ban dikenali dengan kelebihan
Malam Nisfu Sya’ban manakala Bulan Ramadhan dengan kelebihan Lailatul Qadar.
Nisfu Sya’ban terhasil daripada dua perkataan iaitu Nisfu yang bermaksud
setengah manakala Sya’ban beerti Bulan Kelapan dalam bulan-bulan Islam. Di
dalam Raudhah al-Ulama’ diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
“Apakah kamu tahu kenapa
dinamakan Sya’ban? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNYA sahaja yang
mengetahui. Baginda s.a.w bersabda: Kerana ia bercabang-cabang(amat menonjol)
padanya kebaikan yang banyak.”
Nisfu Sya’ban mempunyai
banyak nama-nama lain. Di antaranya ialah;
1.
Lailah Al Mubarakah
Ianya bermaksud
malam yang berkat. Daripada Sayyidah Aisyah r.a
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
“Allah melimpahkan
kebaikan pada empat malam dan dari keempat empat malam tersebut, Baginda s.a.w
menyebut malam Nisfu Sya’ban”
2.
Lailah Al Qasamah dan Al Taqdir
Ianya bermaksud
malam pembahagian qadha’ dan qadar. Diriwayatkan bahawa Sayyidah Aisyah r.a
berkata;
“Rasulullah s.a.w
berpuasa sehingga kami berkata Baginda s.a.w tidak berbuka, dan Baginda s.a.w
berbuka sehingga kami berkata Baginda s.a.w tidak berpuasa dan kebanyakan puasa
Baginda s.a.w ialah pada Bulan Sya’ban. Maka aku berkata, “Wahai Rasulullah!
Aku melihat kebanyakan puasamu ialah pada Bulan Sya’ban.” Jawab Baginda s.a.w,
“Wahai Aisyah! Sesungguhnya ia adalah bulan diserahkan kepada malaikat maut
nama-nama yang akan dicabut nyawanya dan aku suka namaku ditulis melainkan
ketika aku sedang berpuasa.”
3.
Lailah Al Takfir
Ianya bermaksud
malam penghapusan dosa. Didatangkan daripada Al Subki di dalam
tafsirnya bahawa sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah,
nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya selama setahun. Sesiapa yang menghidupkan
malam Jumaat, akan dihapuskan dosanya selama seminggu dan sesiapa yang
menghidupkan malam Lailatul Qadar akan dihapuskan dosanya seumur hidup.
4.
Lailah Al Ijabah
Ianya bermaksud
malam yang diperkenankan permohonan. Imam Syafi’i r.a berkata di dalam al Umm;
“Telah sampai kepada
kami bahawa doa yang dimustajabkan (diterima oleh Allah) ialah doa pada lima
malam: Malam Jumaat, Malam Hari Raya Adha , Malam Hari Raya Fitri, awal Malam
Bulan Rejab dan Malam Nisfu Sya’ban.”
5.
Lailah Al Hayah
Ianya dinamakan
sebegitu rupa kerana Allah SWT menghidupkan hati orang yang menghidupkan malam
Nisfu Sya’ban sebagaimana di dalam Tarikh al Munziri (marfu’), Rasulullah s.a.w
bersabda;
“Sesiapa yang
menghidupkan dua malam hari Raya (‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri) dan malam Nisfu
Sya’ban, tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati mati”
Maksudnya di sini
ialah Allah SWT tidak merosakkan hatinya dengan kecintaan terhadap dunia yang
memutuskannya daripada melakukan amalan kebaikan dan kewajipan agama,
sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith;
“Janganlah kamu
duduk bersama orang yang telah mati”
Maksud orang yang
telah mati ialah orang yang telah rosak hatinya dengan kecintaan terhadap
dunia. Maksdu tidak rosak hatinya ialah hatinya tidak kebingungan semasa
dicabutkan nyawa, semasa berada di dalam kubur dan pada Hari Kiamat.
6.
Lailah Al Syafa’ah
Ianya bermaksud
Malam Syafa’at. Pada malam Nisfu Sya’ban merupakan malam termakbulnya
kesempurnaan syafa’at untuk umatnya pada malam ke 13 Sya’ban. Maka pada malam
tersebut, Allah menganugerahkan kepada Baginda s.a.w memberikan syafa’at kepada
satu pertiga daripada umatnya, malam yang ke 14 pula diberikan kepada dua
pertiga daripada umatnya dan pada malam ke 15, Rasulullah s.a.w diizinkan
memberikan syafa’at kepada seluruh umatnya melainkan orang yang melarikan diri
daripada Allah seperti seekor unta yang lari dari tuannya, iaitu orang yang
berterusan melakukan maksiat.
Terdapat nama-nama lain
bagi malam Nisfu Sya’ban di antaranya Lailah al Baraah (malam perlepasan),
‘Id
Al Malaikah (malam hari raya bagi Malaikat), Lailah al Ta’zim (malam
kebesaran), Lailah al Qadr (malam penentuan), Lailah al Ghufran (malam
pengampunan) dan Lailah al ‘Itq min al Nasr (malam pembebasan dari api neraka).
Kelebihan Malam Nisfu
Sya’ban
1.
Malam Pengampunan
Dikeluarkan oleh al
Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Sayyidah Aisyah r.a berkata;
“Pada suatu malam,
aku kehilangan Rasulullah s.a.w, maka aku pun keluar mencarinya dan menemui
Baginda s.a.w di Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit. Maka baginda s.a.w
bersabda; “Adakah kamu taku Allah dan RasulNYA menzalimimu?”. Sayyidah Aisyah
r.a berkata; “Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu
mendatangi isteri-isterimu yang lain.” Baginda s.a.w bersabda; “Sesungguhnya
Allah SWT (rahmat Allah) turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban, maka
DIA mengampunkan dosa-dosa hambaNYA lebih banyak daripada bilangan bulu kambing
Bani Kilab (Bani Kilab adalah antara kaum yang paling banyak menternak
kambing).
2.
Malam Mustajab Doa
Dari hadith Abdur
Rahman ibn Salam dengan sanadnya daripada Uthman bin Abi al ‘As r.a berkata:
Rasulullah s.a.w;
“Apabila tiba malam
Nisfu Sya’ban dan telah berlalu sepertiga malam, maka rahmat Allah SWT turun ke
langit dunia, lalu Allah SWT berfirman; “Adakah terdapat orang berdoa, maka Aku
akan memakbulkan doanya. Adakah terdapat orang yang meminta keampunan,maka Aku
akan mengampunkannya. Adakah terdapat orang yang bertaubat, maka Aku akan
menerima taubatnya. Maka diampunkan dosa orang yang beriman melainkan pelacur
yang berusaha mendapatkan rezeki dengan kemaluannya, ataupun orang yang
mengambil cukai dengan jalan yang tidak hak atau orang yang bermusuhan dengan
saudaranya.”
Menghidupkan Malam
Nisfu Sya’ban
Diriwayatkan oleh al
Asbahani di dalam Trghib daripada Muaz ibn Jabal r.a berkata: Rasulullah s.a.w
bersabda;
“Sesiapa yang
menghidupkan lima malam, maka wajiblah baginya syurga; di antaranya malam
Tarwiyyah (malam 8 Zulhijjah) dan malam Nisfu Sya’ban.”
Diriwayatkan
daripada hadith Umar ibn Uthman ibn Kathir ibn Ziyad dengan sanadnya bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Sesiapa yang
menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dan dua malam Raya, nescaya tidak akan mati
hatinya pada hari hati-hati mati.”
Adalah lebih utama
malam tersebut dihidupkan dengan solat Tasbih sebagaimana diajarkan
oleh Nabi s.a.w kepada bapa saudaranya Al Abbas r.a dan kaum kerabat Baginda
s.a.w yang lain. Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad daripada Ibnu Abbas
r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abbas Ibn Abdul Mutallib r.a :
“Wahai Abbas! Wahai bapa saudaraku! Mahukah
kamu sekiranya aku berikan sesuatu kepadamu? Mahukah kamu sekiranya aku
anugerahkan sesuatu kepadamu? Mahukah kamu aku mengurniakan sesuatu kepadamu?
Apakah kamu mahu aku memberitahu kepadamu sepuluh perkara yang apabila kamu
melakukannya, Allah akan mengampunkan dosamu, yang awal dan akhir, yang lama
dan baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil dan besar, yang dilakukan
secara sembunyi-sembunyi dan terang-terangan: Sepuluh perkara itu ialah solat
empat raka’at. Dibaca setiap raka’at Fatihah Al Kitab dan satu surah. Apabila
selesai kamu membacanya pada raka’at pertama (sebelum ruku’) dan ketika kamu
masih berdiri, maka bacalah:
(Maha Suci Allah,
segala puji bagi Allah, tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar ) sebanyak 15 kali. Kemudian hendaklah kamu ruku’
dan membacanya ketika kamu sedang ruku’ sebanyak 10 kali. Kemudian angkat
kepalamu dari ruku’. Maka hendaklah kamu membacanya sebanyak 10 kali. Kemudian
sujud dan kamu membaca sebanyak 10 kali. Kemudian angkat kepalamu dan kamu
membacanya sebanyak 10 kali. Maka yang demikian itu, menjadi sebanyak 75 tasbih
pada setiap raka’at. Kamu lakukanlah sedemikian pada keempat-empat raka’at.
Sekiranya kamu mampu melakukannya setiap hari sekali maka lakukanlah. Sekiranya
kamu tidak mampu melakukannya, maka lakukannya setiap Jumaat sekali. Sekiranya
kamu tidak mampu melakukannya, maka lakukanlah pada setiap bulan sekali.
Sekiranya kamu tidak mampu melakukannya, maka lakukannya setahun sekali.
Sekiranya kamu tidak mampu juga melakukannya, maka lakukanlah sekali seumur
hidup kamu.”
Doa Malam Nisfu
Sya’ban
“ Ya Allah! Wahai Tuhan yang mempunyai
pemberian dan tidak ada sesiapa yang memberi kepadaNYA. Wahai Tuhan yang Maha
Agung dan Maha Mulia! Wahai Tuhan yang mempunyai kekuatan dan nikmat, tiada
Tuhan melainkan Engkau, Penolong bagi orang yang datang berlari kepadaMU,
Penjaga orang yang meminta perlindungan, Pengaman orang-orang yang takut,
sekiranya Engkau menulis akan daku di sisiMU di dalam Ibu Segala Suratan
sebagai orang yang celaka, maka padamkanlah namaku daripada kumpulan orang yang
celaka itu dan tetapkanlah daku di sisiMU sebagai orang yang bahagia. Sekiranya
Engkau menulis namaku di sisiMU di dalam Ibu segala Suratan sebagai orang yang
diharamkan dari rezekiku, maka hapuskanlah pengharaman ke atas diriku itu dan
permudahkanlah rezekiku serta tetapkanlah daku di sisiMU sebagai orang yang
bahagia dan mendapat taufiq untuk melakukan kebaikan kerana Engkau telah
berfirman di dalam KitabMU yang telah Engkau turunkan:
“Allah menghapuskan apa jua yang
dikehendakiNYA dan Dia juga yang menetapkan apa jua yang dikehendakiNYA. Dan
ingatlah di sisiNYA ada ‘Ibu Segala Suratan’
(Surah Ad Dukhan : ayat 4)
Kami memohon kepadaMU agar Engkau menghapuskan
daripada kami sebarang bala yang kami ketahui, yang tidak akan kami ketahui dan
lebih Engkau ketahui. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa dan Maha Mulia.
Selawat dan Salam ke atas penghulu kami Muhammad Nabi yang Ummi dan ke atas
ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya”
Semoga Allah SWT
mengampunkan dosa-dosa saya yang lemah ini.
Sumber Rujukan Utama:
1. Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban, Al Muhaddith Al Hafiz
Syeikh Salim Al Sanhuri Al Maliki r.a, diterjemahkan oleh Sheikh Muhammad Fuad
Kamaluddin Al Maliki, Cetakan Kedua 2009 Sofa Production.
2. Persoalan Khilafiah dan Penjelasan Ulama’, Ustaz Muhaddir Bin
Hj Jol, Mawleed Publishing
No comments:
Post a Comment