Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda:
‘Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran,
Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun.
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim)
Pesanan daripada Rasulullah s.a.w ini sebenarnya telah menjawab
persoalan kepada pencarian kita siapakah wanita Islam yang boleh dijadikan
contoh di dalam segenap aspek kehidupan terutamanya pada akhir zaman ini. Sedar
atau tidak masyarakat kita terutamanya para wanita Islam dan generasi muda
wanita Islam masih mencari idola selain daripada mereka dengan alasan idola
yang masih hidup dan berada di depan mata lebih senang dicontohi dan diikuti.
Kalaupun ada yang cuba mencontohi tokoh-tokoh wanita Islam terbilang ini,
keterbatasan untuk menggali seberapa banyak khazanah tauladan kehidupan mereka
menjadi asbab mengapa cita-cita untuk meneladani tokoh wanita Islam tersebut
tidak tercapai.
Barangkali penulisan ini tidak mampu untuk menceritakan secara
khusus berkenaan dengan kesemua tokoh wanita Islam terbilang tetapi ianya
sebagai satu permulaan untuk mengajak para pembaca terutamanya generasi muda
untuk sama-sama menjadikan mereka sebagai panutan dalam menjalani kehidupan
sebagai seorang wanita.
Mengenali Wanita Ummul Mukminun
Siapakah di antara kita yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah
Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi serta dikasihi
oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w. Wanita yang
digelar sebagai Ummul Mukminun yang beerti Ibu kepada seluruh orang mukmin. Beliau
satu-satunya wanita yang mendapat ‘salam’ daripada Allah SWT dan Malaikat
Jibril a.s.
Penulisan ini menjadi penting kerana Sayyidah Khadijah Al Kubra
r.a. telah wafat pada 11 Ramadhan iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah.
Mengingati hari kewafatan Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a (Haul) merupakan
salah satu cara untuk kita menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada beliau.
Sesungguhnya mengingati wanita Ummul Mukminin ini merupakan sunnah Rasulullah
s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Aku direzekikan oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyayangi
Khadijah. Sesungguhnya aku sangat kasih dan cinta kepada orang yang mengasihi
dan mencintai Khadijah”
Rasulullah s.a.w bersabda lagi;
“Cintailah Allah kerana Dia memberi ni’mat kepadamu, cintailah aku
kerana Allah dan cintailah ahli
keluargaku kerana cintamu kepadaku”
(Riwayat At Tarmizi)
Barangkali timbul persoalan di dalam benak hati kita. Bagaimana
mahu mencintai dan mengasihi Ummul Mukminin ini sedangkan darah yang mengalir
pada jasad Khadijah r.a. tidak mengalir di jasad kita? Bagaimana mahu mencintai
beliau kerana sedari waktu kita tidak pernah untuk mengambil tahu tentang
sejarah hidup dan sumbangan beliau di dalam sejarah penting Islam. Tidak
melampau jika dikatakan bahawa kita hampir merasa tidak ada kepentingan buat
kita untuk mengenali apatah lagi menyintai beliau.
Sekiranya persoalan-persoalan seperti ini telah ada di dalam hati
kita, ini bermakna kita sebenarnya masih gagal untuk memupuk rasa cinta dan
kasih kita kepada insan yang paling agung dan mulia serta paling sempurna di
sisi Allah SWT iaitu Muhammad s.a.w.
Untuk mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah r.a, kita harus
berusaha bersungguh-sungguh untuk membaca biografi beliau, membaca dan menggali
apa sumbangan beliau sehingga mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT
dan apakah sumbangan beliau kepada kita. Kita harus mencari kekuatan dan
kesempurnaan Sayyidah Khadijah r.a malah berusaha menjadi wanita yang berjiwa
besar seperti Sayyidah Khadijah Al Kubra!
Benar, jika kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita akan
berusaha untuk memenuhi keinginan kita untuk mengenali latar belakang orang
tersebut sebanyak yang mungkin. Kita berusaha seboleh-bolehnya ingin mengetahui
apa yang dilakukannya setiap saat dan ketika. Apa yang mendorong kita untuk
mengenalinya kalau tidak kerana cinta dan kasih kita!
Sayyidah Khadijah r.a bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri
malah seorang sahabiah kepada Rasulullah s.a.w di mana beliau telah mendapat
tempat yang khusus di sisi Allah SWT. Namanya terpahat di hati Nabi s.a.w.
Apakah keistimewaan yang diraih oleh Sayyidah Khadijah r.a dan
disandang olehnya sebelum menjadi dan selepas menjadi isteri kepada baginda
s.a.w? Terdapat empat gelaran yang disandang oleh Sayyidah Khadijah r.a. Dua
gelaran yang disandangnya sebelum menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w dan dua
lagi disandangya setelah menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w.
1. At Tohirah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan seorang yang suci dan yang menjaga
maruahnya dan kehormatannya. Zaman jahiliah pada ketika itu tidak ada
nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam masyarakat kecuali sedikit sahaja
dan penzinaan bermaharajalela ketika itu. Beliau sangat suci dan menjaga maruah
serta berbeza dengan wanita di zamannya, tidak mudah bergaul dengan mana-mana
lelaki manapun malah para lelaki sangat menghormatinya. Belia mempunyai budi
pekerti luhur beserta akhlak yang mulia.
Beliau kerap mendatangi Waraqah Ibn Naufal dan mendapatkan banyak
cerita-cerita tentang Bani Israil dan agama Nasrani. Malah beliau telah
mengetahui khabar tentang adanya kenabian di akhir zaman dan menjadi harapan
kepadanya untuk menunggu kedatangan nabi tersebut. Beliau juga sering bertanya
dengan Waraqah Ibn Naufal tentang Allah dan tentang kekuasaan Allah SWT.
Walaupun beliau seorang yang hartawan dan berjaya dalam perniagaan,
tetapi hatinya mencari-cari tentang agama yang benar yang diturunkan kepada
Nabi akhir zaman. Aqidah beliau terjaga dan beliau tidak pernah menyembah
berhala. [3] Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a merupakan wanita yang suci zahir
dan batin, luar dan dalam dan sentiasa mencari Nur yang diyakini akan sampai.
Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a sebenarnya telah menunjukkan
tauladan untuk kita wanita Islam zaman kini. Tatkala masyarakat kita hari ini
dalam kebingungan dengan isu pembuangan bayi. Bagi tempoh 2008 hingga 2009
sahaja sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan manakala bagi tahun 2010
telah pun mencatat sebanyak 60 kes. Bukankah ini di antara ciri-ciri masyarakat
zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam? Benar, faktor penzinaan yang berlaku
dalam masyarakat kita yang kini seolah-olah telah diterima sebagai nilai dalam
hidup merupakan punca kepada pembuangan bayi. Punca kepada berlakunya penzinaan
adalah kedangkalan dan kebebalan dalam memahami asas kepada pegangan hidup
iaitu agama Islam.
Sayyidah Khadijah At Tohirah sebenarnya telah memberikan contoh
yang hebat di mana beliau seorang yang sangat menjaga diri dan kehormatannya
walaupun pada ketika itu gelombang penzinaan bermaharalela dalam masyarakat
Arab Jahiliah. Beliau berpegang kepada apa yang telah disampaikan oleh Waraqah
Ibn Naufal kepadanya. Sungguhpun beliau seorang yang hartawan dan memiliki
kekayaan yang banyak, tetapi beliau tidak pernah lalai dan leka dengan
kemewahan tersebut. Justeru, bukankah Sayyidah Khadijah At Tohirah telah
menunjukkan kepada kita jalan yang sebetulnya?
2. Sayyidah An Nisa i Quraisy
Sayyidah Khadijah r.a. juga dikenali sebagai Penghulu kepada kaum
wanita Quraisy yang paling termulia dikalangan wanita Quraisy yang mulia yang
masih berpegang kepada nilai-nilai murni. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah
menghampakan sesiapa yang mengetuk pintu rumahnya untuk memohon bantuan dan
pertolongan daripada beliau. Sungguh beliau tidak pernah mengecewakan!. Sifat
pemurah Khadijah menenangkan sesiapa yang memerlukan bantuan. Sayyidah Khadijah
r.a tidak pernah lokek dengan kesenangan dan kekayaan yang dimiliki sehingga
ianya dapat dirasai oleh masyarakat yang hidup bersama-samanya. Justeru,
bukankah Sayyidah An Nisai Quraisy telah menunjukkan tauladan yang terbaik buat
kita?
3. Ummul Mukminin
Sayyidah khadijah r.a menyandang gelaran Ummul Mukminin iaitu Ibu
kepada seluruh kaum mukminin selepas beliau menjadi isteri kepada Rasulullah
s.a.w. Keterkaitan Sayyidah Khadijah r.a dengan Rasulullah s.a.w telah mengubah
kedudukan dan kemuliaan beliau. Beliau adalah insan pertama yang beriman kepada
Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad s.a.w merupakan dan Nabi dan Rasul yang
diutuskan oleh Allah SWT. Sayyidah Khadijah r.a sentiasa menjadi penyokong dan
pembantu kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah yang menyebabkan ketenangan jiwa
Rasulullah ketika berkhalwat di Gua Hira’? Siapakah yang tidak pernah putus asa
menyokong dan membantu Nabi s.a.w? Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah bertanya
apatah lagi menghalang Nabi s.a.w untuk beribadah sebulan lamanya di Gua Hira
yang penuh dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Sayyidah
Khadijah r.a memanjat Jabal Nur ke Gua Hira yang jauhnya tiga batu demi untuk
menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. sehingga Sayyidah khadijah r.a menerima
‘salam’ daripada Allah SWT malah Malaikat Jibril a.s turut sama menyampaikan
‘salam’ kepada Sayyidah Khadijah r.a. Kecerdikan dan kepintaran Sayyidah
Khadijah r.a terserlah apabila beliau menjawab ‘salam’ daripada Allah SWT dan
Malaikat Jibril a.s dengan lafaz “ Allah yang Maha Salam, Allah yang
daripadaNya datangnya ‘salam’. ‘Salam’ datang daripada Allah SWT, untuk Jibrail
pun aku sampaikan ‘salam’ dan kepadamu juga ya Rasulullah s.a.w aku sampaikan
‘salam’.
Sayyidah Khadijah r.a telah menyerahkan segala harta dan kekayaan
miliknya kepada Rasulullah s.a.w dan ianya merupakan modal pertama di dalam
penyebaran dakwah Islamiah. Justeru, disebabkan kerana pengorbanan Sayyidah
Khadijah r.a inilah maka agama Islam sampai kepada kita hari ini. Sayyidah
Khadijah r.a adalah perantara kita dengan Allah SWT. Tidakkah kita masih tidak
mahu mengenang walau sedikitpun Sayyidah Khadijah r.a dalam hidup kita?
Apabila berlakunya peristiwa Kaum Kafir Quraisy membuat resolusi
dalam parlimen mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan Bani Hashim dan
Bani Abdul Mutallib, Sayyidah Khadijah r.a tidak termasuk dalam kalangan
kedua-dua Bani tersebut. Tetapi Sayyidah Khadijah r.a tidak mahu meninggalkan
suami tercinta, maka beliau masuk ke dalam perkampungan Bani Hashim dan Bani
Abdul mutallib. Pada ketika itu Sayyidah Khadijah r.a berusia 60 tahun.
Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi beliau sanggup berada di samping suami
dalam kepungan Kaum Kafir Quraisy. Bekalan makanan dan bantuan kepada Bani
Hashim dan Bani Abdul Mutallib disekat dan tidak dibenarkan sesiapapun
berurusan dengan mereka. Oleh kerana tiada bekalan makanan, mereka hanya makan
rumput rampai, daun-daun sehingga pecah-pecah mulut mereka demi untuk
meneruskan kehidupan.
Adakalannya saudara mara Sayyidah Khadijah r.a menusup masuk
membawa makanan seperti gandum untuk diberikan kepada Sayyidah Khadijah r.a.
Namun kemuliaan dan ketulusan hati Sayyidah Khadijah r.a tiada bandingan.
Beliau tidak makan seorang diri malah dikongsikan bersama-sama dengan yang lain
sehingga diriwayatkan bahawa yang paling mendapat sedikit makanan itu adalah
Sayyidah Khadijah r.a! Sayyidah Khadijah r.a boleh sahaja membuat pilihan untuk
berehat di rumahnya bersama dengan pembantu-pembantunya tetapi kerana kecintaan
dan kasihnya kepada suami tercinta, beliau tidak pernah walau sesaat berenggang
dengan Nabi s.a.w.
Selama tiga tahun mereka berada di dalam kepungan kaum Kafir
Quraisy dan apabila resolusi tersebut dimakan oleh anai-anai, maka berakhirnya
kepungan itu. Sayyidah Khadijah r.a sudah tidak bermaya dan lemah ketika keluar
dari tempat kepungan tersebut. Sayyidah khadijah r.a telah kepenatan menemani
Rasulullah s.a.w. Akhirnya wafatlah Syahidatul Sya’ iaitu wanita yang mati
syahid kerana kepungan kaum kafir Quraisy. Pemergiaannya benar-benar telah
menyedihkan Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum mukminin. Beliau bukan sekadar menyerahkan
segala hartanya tetapi jiwa, raga dan jasadnya diserahkan kepada Islam!
4. Saiyidatul Nisa’ Ahlul Jannah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan penghulu kepada kaum wanita di
syurga. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang solehah tetapi lebih daripada
itu. Wanita yang disebut oleh Allah SWT telah mendapat keselamatan dan keamanan
daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Satu-satunya wanita yang mendapat
salam dari Allah SWT dan sudah terjamin mendapat nikmat syurga.
Apabila Sayyidah Fatimah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Di
manakah ibuku? Rasulullah s.a.w bersabda; “Bahawasanya ibumu berada di
dalam sebuah rumah di dalam syurga di mana rumah itu tiada penat dan hiruk
pikuk di dalamnya. Rumah itu dibina dari permata luluk dan zamrud”
Kenapa tidak ada penat? Kenapa tidak ada hiruk pikuk di dalamnya?
Ini kerana Allah SWT telah menggantikan kepenatan dan keletihan Sayyidah
Khadijah r.a di dunia ketika menemani Rasulullah s.a.w sejak dari ketika Nabi
s.a.w menerima wahyu sehingga Nabi s.a.w berada di dalam kepungan kaum Kafir
Quraisy.
Sayyidah Khadijah r.a : Madrasah dan Universiti Terbaik Tiada Tolok
Bandingannya.
Di rumah Sayyidah Khadijah r.a telah lahirnya pahlawan dan panglima
Islam yang hebat. Pentarbiyyah dan pendidikan di rumah beliau sangat luar biasa
dan merupakan sebuah madarasah dan universiti yang tiada tolok bandingannya.
Tiada yang mampu menjadi sehebat Sayyidah Khadijah r.a. Berkat asuhan dan
didikan Sayyidah Khadijah r.a , maka lahirnya generasi Islam yang hebat seperti
Saidina Ali Karamallah Wajha. Saidina Ali Karamallahu Wajha ini diambil oleh
Rasulullah s.a.w daripada bapa saudaranya Abu Talib sebagai mengenang jasa Abu
Talib yang menjaganya semasa kecil. Bagitu juga dengan Zaid Bin Haritsah,
Zubair Bin Awwam dan beberapa lagi nama-nama pahlawan Islam yang hebat yang
lahir dari didikan Sayyidah Khadijah r.a. Ibu Mithali yang tiada tolok
bandingannya.
Tidak dinafikan wanita Islam di negara kita yang dianugerakan
sebagai Ibu Mithali dikategorikan sebagai ibu yang dapat membesarkan anak-anak
sehingga berjaya, menghadapi kesukaran, kemiskinan, kehilangan tempat
bergantung dan sebagainya. Namun apa yang penting ialah adakah kejayaan
anak-anak ini hanya diukur dari sudut pandang kebebasan ekonomi dan kemewahan,
tetapi tidak pula melihat anak-anak yang berjaya ini dapat memberikan sumbangan
yang besar kepada Islam dan masyarakat? Kesenangan yang diperolehi bukan sahaja
dapat dinikmati oleh ahli keluarga tetapi juga disumbangkan di dalam konteks
yang lebih luas terutamanya dalam sumbangan menyebarkan luaskan lagi Islam dan
menambah baik kondisi masyarakat Islam itu sendiri.
Cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah
r.a
Rasulullah s.a.w tidak pernah memarahi Sayyidah Khadijah r.a.
Rasulullah s.a.w sentiasa menyebut nama dan segala kebaikan Sayyidah Khadijah
r.a. Rasulullah s.a.w tidak pernah tidak menyebut nama Sayyidah Khadijah r.a
sebelum keluar daripada rumah baginda s.a.w sehingga telah timbul kecemburuan
di hati Saidatina Aisya r.a.
Berkata Saidatina Aisyah r.a ; “Mengapakah nama Khadijah itu
sentiasa dibibirmu sedangkan beliau telah tiada dan Allah telah menggantikan
yang lebih baik untukmu ya Rasulullah?”
Rasulullah berasa begitu marah apabila mendengar persoalan itu lalu
baginda s.a.w bersabda;
”Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari
khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku
ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak
ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku
anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak
memberikan aku anak”. (Riwayat
At Tabrani)
Rasulullah s.a.w sentiasa memberikan hadiah kepada saudara mara dan
sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a. Apabila Rasulullah s.a.w menyembelih
kambing, baginda s.a.w tidak pernah lupa untuk memberikan beberapa bahagian
untuk sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a Betapa cinta dan kasihnya
Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a. Walaupun Sayyidah Khadijah r.a
telah meninggalkan Rasulullah s.a.w tetapi baginda s.a.w tetap sentiasa menjaga
hubungan baginda s.a.w dengan saudara mara dan sahabat Sayyidah Khadijah r.a
Untuk kita bagaimana pula? Sudahkah ada cinta dan kasih sayang kita
pada Sayyidah Khadijah r.a.
Fahami dan Hayatilah Perjuangan Sayyidah khadijah r.a
Penulisan ini sebenarnya tidak layak dan tidak mampu untuk
menggambarkan siapa sebenarnya insan yang mendapat tempat teristimewa di hati
Rasulullah s.a.w. Namun, dalam usaha untuk mengenali, mencintai dan
mentauladani suri hati Rasulullah s.a.w ini, hati tekad untuk menulis sedikit
tentang Sayyidah Khadijah r.a dengan harapan dapatlah diri menagih cinta dan
kasih sayang Rasulullah s.a.w apatah lagi syafaat baginda s.a.w yang di
dambakan.
Fahamilah perjuangan Sayyidah Khadijah r.a!
Kami bertawassul dengan Hababah (Sayyidah Khadijah r.a.)
Dan juga Fatimah Al Batul r.a perempuan yang baik lagi bersih
Nabi s.a.w dan juga sahabat
Semoga doa dimakbulkan
Sesungguhnya dengan Allah aku mengharap
Di pintuNYA aku sentiasa bermunajat
Moga-moga Dia akan memperelokkan perangaiku yang buruk
Dan memudahkan segala kesusahanku
Tuhanku! Kuatkanlah keazaman kami dan bantulah agama Islam
Syafaatkanlah Al-Mukhtar r.a pada kami
Dan masukkanlah kami ke dalam kumpulannya.
Penghulu segala Rasul yang mulia
Pembawa petunjuk ke arah kesejahteraanku
Moga-moga Engkau menghapuskan kesakitanku
Dengan kemuliaan orang-orang yang mempunyai hubungan nasab dan
kerabat dengan baginda s.a.w
(Rantaian Mutiara : Al Arif Billah Ali Ibn Muhammad Ibn Husin Al
Habsyi r.a)
Rujukan:
1.Manaqib Sayyidah Khadijah Al-Kubro
Al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al
Hasani
2.Catatan Ringkas saya ketika menghadiri Haul Sayyidah Khadijah Al
Kubro, 2010, disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki dan
Habib Zainal Abidin.
No comments:
Post a Comment