Kiranya sudah lama saya tidak menghiburkan hati dengan membaca kisah-kisah baginda saw. Kesibukan urusan dunia melupakan saya dari terus mengingati baginda saw. Alhamdulillah dikesempatan waktu ini, saya kongsikan sedikit satu kisah yang memaparkan haruman akhlak baginda saw. Semoga saya dan anda dapat mencontohi dalam kehidupan kita.
Terdapat satu peristiwa
seorang Arab Badawi mengadu kepada Rasulullah SAW akan kesusahan yang dialami
oleh penduduk di perkampungannya akibat musim kemarau. Beliau memohon bantuan
daripada Rasulullah saw kerana mereka sudah kehabisan bekalan makanan.
Rasulullah saw kemudiannya bertanyakan kepada Saidina Ali bin Abu Talib r.a
tentang apa yang dapat dibantu, namun Saidina Ali bin Talib r.a menyatakan
bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa yang boleh membantu orang Arab Badawi tersebut.
Lalu Zaid bin Su’nah menawarkan kepada Rasulullah saw dengan kata-katanya: “Hai
Muhammad, mahukah engkau jika aku belikan untukmu kurma dari salah sebuah perkebunan,
dan engkau berhutang kepadaku dengan membayarnya kemudian dalam beberapa tempoh
tertentu?”
Rasulullah saw bersetuju
dengan tawaran Zaid bin Su’nah itu demi membantu keperluan orang Arab Badwi itu.
Zaid bin Su’nah telah membeli kurma dengan nilai sebanyak 80 bungkal emas.
Masa pun berlalu, tinggal
beberapa hari sahaja lagi tempoh perlunasan hutang akan tiba. Zaid bin Su’nah
pergi mendapatkan Rasulullah saw yang sedang bersandar di tepi tembok masjid
usai solat jenazah ke atas salah seorang sahabatnya yang meninggal dunia. Zaid
bin Su’nah seraya merentap baju dan kain ridak baginda saw dan menuntut hutang
dengan wajah yang marah sekali.
“Bukankah tempohnya
ada dua hari lagi?” jawab Rasulullah saw dengan lembut.
“Tidak. Aku mahu
engkau membayar hutang itu sekarang juga! Dulu aku dengar orang berkata bahawa
suku Bani Abdul Mutallib suka menangguhkan bayaran hutang, tetapi sekarang aku
sendiri sudah merasakan bila hutangku engkau lambatkan”, tegas Zaid bin Su’nah
Saidina Umar Al Khattab
yang bersama dengan baginda saw ketika itu marah akan kata-kata yang
menyakitkan hati yang dilemparkan oleh Zaid bin Su’nah lalu berkata: “Hai musuh
Allah! Engkau berani melemparkan kata-kata kesat pada Rasulullah di depan mataku.
Kalau jika tidak kerana Rasulullah, nescaya sudah terpisah kepalamu dari
badanmu!”
“Wahai Umar,
bukankah lebih baik kalau engkau menyuruhku supaya melunaskan hutangku dengan
baik dan engkau menyuruh Zaid pula menagihnya dengan baik”, seru baginda saw.
Saidina Umar Al Khattab
r.a segera sedar tentang tindakannya yang merbahaya itu. Namun, beliau tidak
sanggup melihat Nabi saw dilakukan sebegitu rupa.
Rasulullah saw kemudiannya
memerintahkan Saidina Umar Al Khattab r.a melunaskan hutang tersebut dengan
tambahan sebanyak 20 shak dari kurma sebagai balasan perbuatan Umar yang
menakut-nakutkan Zaid bin Su’nah. Setelah selesai pembayaran
hutang tersebut, Zaid bin Su’nah berkata kepada Saidina Umar:
“Dengarlah wahai
Umar, bahawa sesungguhnya aku sedang menguji nabimu. Aku sudah lama
memerhatikan Muhammad itu, dan tiada suatu tanda kenabian pun, melainkan sudah
kulihat jelas padanya wajahnya, kecuali dua tanda lagi yang belum, dan aku
tidak pernah diberitahu mengenainya, iaitu sifat kesantunannya sentiasa
mendahului sifat kemarahannya, kemudian tatkala kemarahannya mulai memuncak,
maka sifat kesantunannya akan lebih memuncak dari sifat kemarahannya!
Sekarang barulah aku ketahuinya dan mengujinya sendiri”
Saidina Umar Al Khattab
diam seketika mendengar akan penjelasan Zaid bin Su’nah.
Akhirnya Zaid bin Su’nah
menyatakan keislamannya di hadapan Umar: “Hai Umar! Aku minta engkau
menyaksikan bahawa aku ini sudah merelakan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai
agamaku, dan Muhammad itu pula Nabiku”.
Zaid bin Su’nah telah
menyerahkan sebahagian daripada hartanya ke jalan Allah Taala. Beliau telah berjihad
bersama-sama dengan Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk dan akhirnya gugur
syahid dalam peperangan tersebut.
Rujukan:
Kitab Hayatus Sahabah susunan Muhammad Yusuf Al Kandahlawi, terjemahan Syed Ahmad Semait.
No comments:
Post a Comment