Monday, February 17, 2020

Sayyidah Fatimah Az Zahra : Wanita Permata Ummah





Alhamdulillah, segala puji dan syukur selayaknya hanya dipersembahkan ke hadrat Allah SWT, Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat Sayyiduna Rasulullah SAW, semoga sentiasa subur rasa cinta dan mahabbah kita kepada Sayyidi Mustofa Rasulullah SAW. Semoga kita nanti dibawah pimpinan Sayyidah Fatimah Az Zahra, penghulu wanita syurga.
Penulisan saya yang tidak seberapanya ini adalah bertujuan untuk memberikan nasihat kepada diri saya agar sampai makna untuk saya bersungguh-sungguh mengenali peribadi seorang wanita yang mulia di sisi Rasulullah SAW dan berusaha untuk mengikuti dan mencontohi wanita penghulu syurga ini.
Kelahiran Sayyidah Fatimah Az Zahra
Sayyidah Fatimah Az Zahra ra adalah puteri terakhir Rasulullah SAW. Lahir di usia Nabi Muhammad SAW 35 tahun iaitu lima tahun sebelum kenabian baginda SAW. Kelahiran Sayyidah Fatimah Az Zahra ra disambut oleh Rasulullah saw dengan sujud syukur ke hadrat Illahi.
Barangkali kita semua masih ingat peristiwa pertentangan di antara kabilah-kabilah Quraisy dalam menentukan siapakah yang paling layak meletakkan semula batu Hajarul Aswad ke tempatnya setelah Kaabah selesai dibaiki semula. Sayyidah Fatimah Az Zahra ra lahir disaat orang-orang Quraisy sedang membaiki Kaabah. Pada saat itulah peristiwa perletakan batu Hajarul Aswad ditempatnya semula telah diselesaikan dengan kewibawaan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW. Kewibawaan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW itulah yang menandai kelahiran Sayyidah Fatimah ra.
Di kala Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama, Sayyidah Fatimah Az Zahra ra berusia lima tahun dan ketika kewafatan Sayyidah Khadijah ra, hanya Sayyidah Fatimah Az Zahra yang masih tinggal bersama mereka kerana puteri-puteri Rasulullah SAW yang telahpun berkahwin.
Gelaran Ummu Abiha
Sayyidah Fatimah Az Zahra ra mendapat gelaran umma abiha (wahai ibu untuk ayahnya) daripada ayahandanya Rasulullah SAW. Sayyidah Fatimah Az Zahra bukan sahaja anak kepada Rasulullah SAW malah Rasulullah SAW mengganggap puterinya Sayyidah Fatimah sebagi ibu beliau kerana Sayyidah Fatimahlah yang telah membantu Rasulullah SAW dalam urusan rumah tangga dan mengurus ayahnya setelah kewafatan Sayyidah Khadijah Al Kubro ra.
Tahun kewafatan Sayyidah Khadijah ra dan bapa saudara Rasulullah saw, Abu Talib merupakan tahun yang paling menyedihkan Rasulullah saw. Sayyidah Khadijah merupakan seorang yang kaya raya, baik hati, dermawan dan dipandang mulia oleh masyarakat. Orang-orang yang menghadapi kesulitan, tiada wang dan sebagainya akan berjumpa dengan Sayyidah Khadijah ra. Ternyata Sayyidah Khadijah ra tidak pernah mengecewakan mereka yang datang memohon pertolongan daripadanya. Orang-orang kuffar Quraisy tatkala merancang untuk menyakiti baginda Nabi saw akan berfikir banyak kali sama ada mahu melakukannya atau tidak kerana mereka mengenang jasa Sayyidah Khadijah ra yang pernah membantu mereka dalam kesusahan.
Namun setelah kewafatan Sayyidah Khadijah ra, orang kuffar Quraisy semakin kencang mengecam, menghina, mencaci baginda Rasulullah saw. Ketika Sayyidah Fatimah ra  berada di rumah, seorang kanak-kanak perempuan telah mengetuk keras pintu rumah Rasulullah saw dan memberitahu kepada Sayyidah Fatimah tentang apa yang diperlakukan orang kafir Quraisy terhadap ayahnya.
Fatimah bergegas mendapatkan ayahnya di depan kaabah yang sedang sujud sementara kotoran tahi unta berada di punggung beliau saw. Kotoran tahi unta telah dilemparkan oleh dan Abu Jahal laknatullah. Dengan penuh rasa bangga dan sombong Abu Jahal laknatullah mengambil tahi unta dengan kedua-dua belah tangannya sambil diperhatikan oleh Abu Lahad dan kuncu-kuncunya. Tidak puas dengan tahi unta, Abu Jahal laknatullah dengan menginjak injak leher baginda Rasulullah saw dengan bongkak mengatakan; “Siapa yang akan dapat membantu kamu wahai Muhammad tatkala lehermu berada dibawah kakiku?”
Namun Rasulullah saw tidak pernah beranjak, memanjangkan sujudnya sehingga beliau merasakan tangan kecil Fatimah membersihkan punggungnya, belakangnya, lehernya dan rambutnya. Fatimah membersihkan belakang ayahandanya dengan menggunakan tangan kanan sedangkan tangan kirinya mengusap air matanya sendiri sambil berkata kepada ayahandanya; “Wahai ayah, mereka telah memperlakukakan mu seperti ini”.
Rasulullah saw menyelesaikan tahiyyat akhir dan memberi salam. Beliau memandang puteri dengan tersenyum dan berkata; “Wahai Fatimah akan datang satu hari di mana kenabian ayahmu ini sampai ke Rom dan Parsi”.
Wanita didikan Rasulullah SAW
Sayyidah Fatimah Az Zahra dididik oleh ayahandanya Rasulullah saw dengan didikan yang luar biasa, memiliki hati yang sangat kuat dan tegar, ahli puasa di waktu siang dan ahli ibadah di waktu malam, jiwa juang yang tinggi, jiwa dakwah. Dalam satu riwayat menyebutkan bahawa setiap Jumaat selepas Asar, Sayyidah Fatimah r.a akan berada ditempat ibadahnya, berzikir dan bermunajat dengan linangan air mata, berdoa semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya sehingga para ulama menyebutkan bahawa waktu selepas asar sebagai jam-jam Fatimah Az Zahra.
Gelaran Al Batul
Sayyidah Fatimah r.a juga digelar sebagai Fatimah Al batul iaitu orang yang sungguh-sungguh dan tidak pernah putus-putus ibadah nya kepada Allah SWT.  Sayyidah Fatimah selalu berdoa agar ibadahnya tidak pernah putus kerana haid dan nifas. Allah SWT memakbulkan doa beliau sehingga diriwayatkan bahawa Sayyidah Fatimah tidak pernah datang haid dan tidak pula mengalami nifas. Beliau ketika melahirkan anaknya di waktu maghrib, semasa Isya’ beliau telah berada di dalam keadaan suci.
Gelaran Az Zahra
Antara gelaran lain yang disandang oleh Sayyidah Fatimah r.a adalah Az Zahra yang bermaksud perempuan yang semerbak mewangi dan  baunya sangat wangi. Wanginya Sayyidah Fatimah Az Zahra ini adalah wangian yang hanya dapat dicium oleh para malaikat sahaja. Sehingga menjadi perbualan dari para malaikat; “Bau wangi apakah dari bumi ini?” Maka jawab sebahagian para malaikat yang lainnya bahawa “Bau wangi ini adalah dari Fatimah yang sedang beristighfar, berzikir dan bersujud”.
Suri Tauladan Tertinggi Buat Wanita.
Ketika berkahwin dengan Saidina Ali r.a, dijaga rumah tangganya dengan luar biasa. Tiada perkataan yang sering diungkapkan Sayyidah Fatimah r.a kepada suaminya melainkan yang indah-indah belaka. Diriwayatkan dalam satu kisah ketika Sayyidah Fatimah berbual-bual dengan Sayyidina Ali r.a. Kata Fatimah r.a ; “Wahai Ali, tahukah akan dikau bahawa di kota Madinah ini ada seorang lelaki yang aku sering ingin mengetahui akan khabarnya. Jika dia pergi berperang, aku akan memastikan untuk mendapat khabar sama ada dia pulang dengan selamatnya atau tidak”. Saidina Ali r.a sedikit cemburu sambil berkata; “Adakah kamu menyesal mengahwiniku dan menyesal kerana tidak menikahinya?” Sayyidah Fatimah senyum sambil berkata; “Tidak pernah sama sekali kerana lelaki tersebut adalah kamu”.
Darjat dan kedudukan Sayyidah Fatimah Az Zahra r.a
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw bersabda; “Fatimah adalah sebahagian dari diriku. Siapa yang menyakitinya beerti menyakiti aku, siapa yang kasih kepadanya beerti dia mengasihiku”. Ini membuktikan betapa tingginya darjat Sayyidah Fatimah Az Zahra di sisi Allah SWT dan Rasulullah saw.
Berkata Rasulullah SAW kepada puterinya Sayyidah Fatimah ra, “Wahai Fatimah apakah engkau tidak redha, Allah SWT telah menjadikanmu sebagai pemimpin wanita syurga (Sayyidah Nisa’ Ahlil Jannah).
Jika kamu ingin menjadi wanita ahli syurga, kenallah dengan wanita pemimpin ahli syurga, dekatkanlah diri dengan pimpinanmu, ikutilah jalan hidupnya.
Inilah wanita didikan daripada Rasulullah SAW !
Rujukan:
  1. Catatan Ringkas semasa menghadiri Kuliyyah Muslimah “ Sayyidah Fatimah Az Zahra: Wanita Permata Ummah” yang disampaikan oleh Al Fadhilah Ustazah Halimah Alaydrus pada 15 September 2012, Dormani Hotel, Kuching.
  2. Riwayat Hidup Siti Fatimah Az Zahra r.a, H.M.H Al Hamid Al Hussaini (1989) Victory Agencie, Kuala Lumpur

Friday, June 16, 2017

Kisah Islamnya Zaid bin Su’nah, Pendita Yahudi kerana Akhlak Baginda yang Mulia


Kiranya sudah lama saya tidak menghiburkan hati dengan membaca kisah-kisah baginda saw. Kesibukan urusan dunia melupakan saya dari terus mengingati baginda saw. Alhamdulillah dikesempatan waktu ini, saya kongsikan sedikit satu kisah yang memaparkan haruman akhlak baginda saw. Semoga saya dan anda dapat mencontohi dalam kehidupan kita.


Terdapat satu peristiwa seorang Arab Badawi mengadu kepada Rasulullah SAW akan kesusahan yang dialami oleh penduduk di perkampungannya akibat musim kemarau. Beliau memohon bantuan daripada Rasulullah saw kerana mereka sudah kehabisan bekalan makanan. Rasulullah saw kemudiannya bertanyakan kepada Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang apa yang dapat dibantu, namun Saidina Ali bin Talib r.a menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa yang boleh membantu orang Arab Badawi tersebut. Lalu Zaid bin Su’nah menawarkan kepada Rasulullah saw dengan kata-katanya: “Hai Muhammad, mahukah engkau jika aku belikan untukmu kurma dari salah sebuah perkebunan, dan engkau berhutang kepadaku dengan membayarnya kemudian dalam beberapa tempoh tertentu?”

Rasulullah saw bersetuju dengan tawaran Zaid bin Su’nah itu demi membantu keperluan orang Arab Badwi itu. Zaid bin Su’nah telah membeli kurma dengan nilai sebanyak 80 bungkal emas.

Masa pun berlalu, tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh perlunasan hutang akan tiba. Zaid bin Su’nah pergi mendapatkan Rasulullah saw yang sedang bersandar di tepi tembok masjid usai solat jenazah ke atas salah seorang sahabatnya yang meninggal dunia. Zaid bin Su’nah seraya merentap baju dan kain ridak baginda saw dan menuntut hutang dengan wajah yang marah sekali.

“Bukankah tempohnya ada dua hari lagi?” jawab Rasulullah saw dengan lembut.

“Tidak. Aku mahu engkau membayar hutang itu sekarang juga! Dulu aku dengar orang berkata bahawa suku Bani Abdul Mutallib suka menangguhkan bayaran hutang, tetapi sekarang aku sendiri sudah merasakan bila hutangku engkau lambatkan”, tegas Zaid bin Su’nah

Saidina Umar Al Khattab yang bersama dengan baginda saw ketika itu marah akan kata-kata yang menyakitkan hati yang dilemparkan oleh  Zaid bin Su’nah lalu berkata: “Hai musuh Allah! Engkau berani melemparkan kata-kata kesat pada Rasulullah di depan mataku. Kalau jika tidak kerana Rasulullah, nescaya sudah terpisah kepalamu dari badanmu!”

“Wahai Umar, bukankah lebih baik kalau engkau menyuruhku supaya melunaskan hutangku dengan baik dan engkau menyuruh Zaid pula menagihnya dengan baik”, seru baginda saw.

Saidina Umar Al Khattab r.a segera sedar tentang tindakannya yang merbahaya itu. Namun, beliau tidak sanggup melihat Nabi saw dilakukan sebegitu rupa.

Rasulullah saw kemudiannya memerintahkan Saidina Umar Al Khattab r.a melunaskan hutang tersebut dengan tambahan sebanyak 20 shak dari kurma sebagai balasan perbuatan Umar yang menakut-nakutkan Zaid bin Su’nah. Setelah selesai pembayaran hutang tersebut, Zaid bin Su’nah berkata kepada Saidina Umar:

“Dengarlah wahai Umar, bahawa sesungguhnya aku sedang menguji nabimu. Aku sudah lama memerhatikan Muhammad itu, dan tiada suatu tanda kenabian pun, melainkan sudah kulihat jelas padanya wajahnya, kecuali dua tanda lagi yang belum, dan aku tidak pernah diberitahu mengenainya, iaitu sifat kesantunannya sentiasa mendahului sifat kemarahannya, kemudian tatkala kemarahannya mulai memuncak, maka sifat kesantunannya akan lebih memuncak dari sifat kemarahannya! Sekarang barulah aku ketahuinya dan mengujinya sendiri”

Saidina Umar Al Khattab diam seketika mendengar akan penjelasan Zaid bin Su’nah.

Akhirnya Zaid bin Su’nah menyatakan keislamannya di hadapan Umar: “Hai Umar! Aku minta engkau menyaksikan bahawa aku ini sudah merelakan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Muhammad itu pula Nabiku”.


Zaid bin Su’nah telah menyerahkan sebahagian daripada hartanya ke jalan Allah Taala. Beliau telah berjihad bersama-sama dengan Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk dan akhirnya gugur syahid dalam peperangan tersebut.

Rujukan:
Kitab Hayatus Sahabah susunan Muhammad Yusuf Al Kandahlawi, terjemahan Syed Ahmad Semait.

Thursday, June 8, 2017

Sayyidah Khadijah Al Kubra : Bantulah Aku Meneladaninya


Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
‘Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun.
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim)

Pesanan daripada Rasulullah s.a.w ini sebenarnya telah menjawab persoalan kepada pencarian kita siapakah wanita Islam yang boleh dijadikan contoh di dalam segenap aspek kehidupan terutamanya pada akhir zaman ini. Sedar atau tidak masyarakat kita terutamanya para wanita Islam dan generasi muda wanita Islam masih mencari idola selain daripada mereka dengan alasan idola yang masih hidup dan berada di depan mata lebih senang dicontohi dan diikuti. Kalaupun ada yang cuba mencontohi tokoh-tokoh wanita Islam terbilang ini, keterbatasan untuk menggali seberapa banyak khazanah tauladan kehidupan mereka menjadi asbab mengapa cita-cita untuk meneladani tokoh wanita Islam tersebut tidak tercapai.

Barangkali penulisan ini tidak mampu untuk menceritakan secara khusus berkenaan dengan kesemua tokoh wanita Islam terbilang tetapi ianya sebagai satu permulaan untuk mengajak para pembaca terutamanya generasi muda untuk sama-sama menjadikan mereka sebagai panutan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.


Mengenali Wanita Ummul Mukminun

Siapakah di antara kita yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi serta dikasihi oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w. Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun yang beerti Ibu kepada seluruh orang mukmin. Beliau satu-satunya wanita yang mendapat ‘salam’ daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s.

Penulisan ini menjadi penting kerana Sayyidah Khadijah Al Kubra r.a. telah wafat pada 11 Ramadhan iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah. Mengingati hari kewafatan Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a (Haul) merupakan salah satu cara untuk kita menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada beliau. Sesungguhnya mengingati wanita Ummul Mukminin ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.


Rasulullah s.a.w bersabda;
“Aku direzekikan oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyayangi Khadijah. Sesungguhnya aku sangat kasih dan cinta kepada orang yang mengasihi dan mencintai Khadijah”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi;
“Cintailah Allah kerana Dia memberi ni’mat kepadamu, cintailah aku kerana Allah dan   cintailah ahli keluargaku kerana cintamu kepadaku”
(Riwayat At Tarmizi)

Barangkali timbul persoalan di dalam benak hati kita. Bagaimana mahu mencintai dan mengasihi Ummul Mukminin ini sedangkan darah yang mengalir pada jasad Khadijah r.a. tidak mengalir di jasad kita? Bagaimana mahu mencintai beliau kerana sedari waktu kita tidak pernah untuk mengambil tahu tentang sejarah hidup dan sumbangan beliau di dalam sejarah penting Islam. Tidak melampau jika dikatakan bahawa kita hampir merasa tidak ada kepentingan buat kita untuk mengenali apatah lagi menyintai beliau.

Sekiranya persoalan-persoalan seperti ini telah ada di dalam hati kita, ini bermakna kita sebenarnya masih gagal untuk memupuk rasa cinta dan kasih kita kepada insan yang paling agung dan mulia serta paling sempurna di sisi Allah SWT iaitu Muhammad s.a.w.

Untuk mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah r.a, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membaca biografi beliau, membaca dan menggali apa sumbangan beliau sehingga mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT dan apakah sumbangan beliau kepada kita. Kita harus mencari kekuatan dan kesempurnaan Sayyidah Khadijah r.a malah berusaha menjadi wanita yang berjiwa besar seperti Sayyidah Khadijah Al Kubra!

Benar, jika kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita akan berusaha untuk memenuhi keinginan kita untuk mengenali latar belakang orang tersebut sebanyak yang mungkin. Kita berusaha seboleh-bolehnya ingin mengetahui apa yang dilakukannya setiap saat dan ketika. Apa yang mendorong kita untuk mengenalinya kalau tidak kerana cinta dan kasih kita!

Sayyidah Khadijah r.a bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri malah seorang sahabiah kepada Rasulullah s.a.w di mana beliau telah mendapat tempat yang khusus di sisi Allah SWT. Namanya terpahat di hati Nabi s.a.w.

Apakah keistimewaan yang diraih oleh Sayyidah Khadijah r.a dan disandang olehnya sebelum menjadi dan selepas menjadi isteri kepada baginda s.a.w? Terdapat empat gelaran yang disandang oleh Sayyidah Khadijah r.a. Dua gelaran yang disandangnya sebelum menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w dan dua lagi disandangya setelah menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w.

1. At Tohirah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan seorang yang suci dan yang menjaga maruahnya dan kehormatannya. Zaman jahiliah pada ketika itu tidak ada nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam masyarakat kecuali sedikit sahaja dan penzinaan bermaharajalela ketika itu. Beliau sangat suci dan menjaga maruah serta berbeza dengan wanita di zamannya, tidak mudah bergaul dengan mana-mana lelaki manapun malah para lelaki sangat menghormatinya. Belia mempunyai budi pekerti luhur beserta akhlak yang mulia.

Beliau kerap mendatangi Waraqah Ibn Naufal dan mendapatkan banyak cerita-cerita tentang Bani Israil dan agama Nasrani. Malah beliau telah mengetahui khabar tentang adanya kenabian di akhir zaman dan menjadi harapan kepadanya untuk menunggu kedatangan nabi tersebut. Beliau juga sering bertanya dengan Waraqah Ibn Naufal tentang Allah dan tentang kekuasaan Allah SWT.

Walaupun beliau seorang yang hartawan dan berjaya dalam perniagaan, tetapi hatinya mencari-cari tentang agama yang benar yang diturunkan kepada Nabi akhir zaman. Aqidah beliau terjaga dan beliau tidak pernah menyembah berhala. [3] Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a merupakan wanita yang suci zahir dan batin, luar dan dalam dan sentiasa mencari Nur yang diyakini akan sampai.

Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a sebenarnya telah menunjukkan tauladan untuk kita wanita Islam zaman kini. Tatkala masyarakat kita hari ini dalam kebingungan dengan isu pembuangan bayi. Bagi tempoh 2008 hingga 2009 sahaja sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan manakala bagi tahun 2010 telah pun mencatat sebanyak 60 kes. Bukankah ini di antara ciri-ciri masyarakat zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam? Benar, faktor penzinaan yang berlaku dalam masyarakat kita yang kini seolah-olah telah diterima sebagai nilai dalam hidup merupakan punca kepada pembuangan bayi. Punca kepada berlakunya penzinaan adalah kedangkalan dan kebebalan dalam memahami asas kepada pegangan hidup iaitu agama Islam.

Sayyidah Khadijah At Tohirah sebenarnya telah memberikan contoh yang hebat di mana beliau seorang yang sangat menjaga diri dan kehormatannya walaupun pada ketika itu gelombang penzinaan bermaharalela dalam masyarakat Arab Jahiliah. Beliau berpegang kepada apa yang telah disampaikan oleh Waraqah Ibn Naufal kepadanya. Sungguhpun beliau seorang yang hartawan dan memiliki kekayaan yang banyak, tetapi beliau tidak pernah lalai dan leka dengan kemewahan tersebut. Justeru, bukankah Sayyidah Khadijah At Tohirah telah menunjukkan kepada kita jalan yang sebetulnya?

2. Sayyidah An Nisa i Quraisy
Sayyidah Khadijah r.a. juga dikenali sebagai Penghulu kepada kaum wanita Quraisy yang paling termulia dikalangan wanita Quraisy yang mulia yang masih berpegang kepada nilai-nilai murni. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah menghampakan sesiapa yang mengetuk pintu rumahnya untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada beliau. Sungguh beliau tidak pernah mengecewakan!. Sifat pemurah Khadijah menenangkan sesiapa yang memerlukan bantuan. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah lokek dengan kesenangan dan kekayaan yang dimiliki sehingga ianya dapat dirasai oleh masyarakat yang hidup bersama-samanya. Justeru, bukankah Sayyidah An Nisai Quraisy telah menunjukkan tauladan yang terbaik buat kita?

3. Ummul Mukminin
Sayyidah khadijah r.a menyandang gelaran Ummul Mukminin iaitu Ibu kepada seluruh kaum mukminin selepas beliau menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w. Keterkaitan Sayyidah Khadijah r.a dengan Rasulullah s.a.w telah mengubah kedudukan dan kemuliaan beliau. Beliau adalah insan pertama yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad s.a.w merupakan dan Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Sayyidah Khadijah r.a sentiasa menjadi penyokong dan pembantu kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah yang menyebabkan ketenangan jiwa Rasulullah ketika berkhalwat di Gua Hira’? Siapakah yang tidak pernah putus asa menyokong dan membantu Nabi s.a.w? Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah bertanya apatah lagi menghalang Nabi s.a.w untuk beribadah sebulan lamanya di Gua Hira yang penuh dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Sayyidah Khadijah r.a memanjat Jabal Nur ke Gua Hira yang jauhnya tiga batu demi untuk menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. sehingga Sayyidah khadijah r.a menerima ‘salam’ daripada Allah SWT malah Malaikat Jibril a.s turut sama menyampaikan ‘salam’ kepada Sayyidah Khadijah r.a. Kecerdikan dan kepintaran Sayyidah Khadijah r.a terserlah apabila beliau menjawab ‘salam’ daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s dengan lafaz “ Allah yang Maha Salam, Allah yang daripadaNya datangnya ‘salam’. ‘Salam’ datang daripada Allah SWT, untuk Jibrail pun aku sampaikan ‘salam’ dan kepadamu juga ya Rasulullah s.a.w aku sampaikan ‘salam’.

Sayyidah Khadijah r.a telah menyerahkan segala harta dan kekayaan miliknya kepada Rasulullah s.a.w dan ianya merupakan modal pertama di dalam penyebaran dakwah Islamiah. Justeru, disebabkan kerana pengorbanan Sayyidah Khadijah r.a inilah maka agama Islam sampai kepada kita hari ini. Sayyidah Khadijah r.a adalah perantara kita dengan Allah SWT. Tidakkah kita masih tidak mahu mengenang walau sedikitpun Sayyidah Khadijah r.a dalam hidup kita?

Apabila berlakunya peristiwa Kaum Kafir Quraisy membuat resolusi dalam parlimen mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib, Sayyidah Khadijah r.a tidak termasuk dalam kalangan kedua-dua Bani tersebut. Tetapi Sayyidah Khadijah r.a tidak mahu meninggalkan suami tercinta, maka beliau masuk ke dalam perkampungan Bani Hashim dan Bani Abdul mutallib. Pada ketika itu Sayyidah Khadijah r.a berusia 60 tahun. Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi beliau sanggup berada di samping suami dalam kepungan Kaum Kafir Quraisy. Bekalan makanan dan bantuan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib disekat dan tidak dibenarkan sesiapapun berurusan dengan mereka. Oleh kerana tiada bekalan makanan, mereka hanya makan rumput rampai, daun-daun sehingga pecah-pecah mulut mereka demi untuk meneruskan kehidupan.

Adakalannya saudara mara Sayyidah Khadijah r.a menusup masuk membawa makanan seperti gandum untuk diberikan kepada Sayyidah Khadijah r.a. Namun kemuliaan dan ketulusan hati Sayyidah Khadijah r.a tiada bandingan. Beliau tidak makan seorang diri malah dikongsikan bersama-sama dengan yang lain sehingga diriwayatkan bahawa yang paling mendapat sedikit makanan itu adalah Sayyidah Khadijah r.a! Sayyidah Khadijah r.a boleh sahaja membuat pilihan untuk berehat di rumahnya bersama dengan pembantu-pembantunya tetapi kerana kecintaan dan kasihnya kepada suami tercinta, beliau tidak pernah walau sesaat berenggang dengan Nabi s.a.w.

Selama tiga tahun mereka berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy dan apabila resolusi tersebut dimakan oleh anai-anai, maka berakhirnya kepungan itu. Sayyidah Khadijah r.a sudah tidak bermaya dan lemah ketika keluar dari tempat kepungan tersebut. Sayyidah khadijah r.a telah kepenatan menemani Rasulullah s.a.w. Akhirnya wafatlah Syahidatul Sya’ iaitu wanita yang mati syahid kerana kepungan kaum kafir Quraisy. Pemergiaannya benar-benar telah menyedihkan Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum mukminin. Beliau bukan sekadar menyerahkan segala hartanya tetapi jiwa, raga dan jasadnya diserahkan kepada Islam!

4. Saiyidatul Nisa’ Ahlul Jannah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan penghulu kepada kaum wanita di syurga. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang solehah tetapi lebih daripada itu. Wanita yang disebut oleh Allah SWT telah mendapat keselamatan dan keamanan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Satu-satunya wanita yang mendapat salam dari Allah SWT dan sudah terjamin mendapat nikmat syurga.

Apabila Sayyidah Fatimah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Di manakah ibuku? Rasulullah s.a.w bersabda; “Bahawasanya ibumu berada di dalam sebuah rumah di dalam syurga di mana rumah itu tiada penat dan hiruk pikuk di dalamnya. Rumah itu dibina dari permata luluk dan zamrud”

Kenapa tidak ada penat? Kenapa tidak ada hiruk pikuk di dalamnya? Ini kerana Allah SWT telah menggantikan kepenatan dan keletihan Sayyidah Khadijah r.a di dunia ketika menemani Rasulullah s.a.w sejak dari ketika Nabi s.a.w menerima wahyu sehingga Nabi s.a.w berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy.

Sayyidah Khadijah r.a : Madrasah dan Universiti Terbaik Tiada Tolok Bandingannya.
Di rumah Sayyidah Khadijah r.a telah lahirnya pahlawan dan panglima Islam yang hebat. Pentarbiyyah dan pendidikan di rumah beliau sangat luar biasa dan merupakan sebuah madarasah dan universiti yang tiada tolok bandingannya. Tiada yang mampu menjadi sehebat Sayyidah Khadijah r.a. Berkat asuhan dan didikan Sayyidah Khadijah r.a , maka lahirnya generasi Islam yang hebat seperti Saidina Ali Karamallah Wajha. Saidina Ali Karamallahu Wajha ini diambil oleh Rasulullah s.a.w daripada bapa saudaranya Abu Talib sebagai mengenang jasa Abu Talib yang menjaganya semasa kecil. Bagitu juga dengan Zaid Bin Haritsah, Zubair Bin Awwam dan beberapa lagi nama-nama pahlawan Islam yang hebat yang lahir dari didikan Sayyidah Khadijah r.a. Ibu Mithali yang tiada tolok bandingannya.

Tidak dinafikan wanita Islam di negara kita yang dianugerakan sebagai Ibu Mithali dikategorikan sebagai ibu yang dapat membesarkan anak-anak sehingga berjaya, menghadapi kesukaran, kemiskinan, kehilangan tempat bergantung dan sebagainya. Namun apa yang penting ialah adakah kejayaan anak-anak ini hanya diukur dari sudut pandang kebebasan ekonomi dan kemewahan, tetapi tidak pula melihat anak-anak yang berjaya ini dapat memberikan sumbangan yang besar kepada Islam dan masyarakat? Kesenangan yang diperolehi bukan sahaja dapat dinikmati oleh ahli keluarga tetapi juga disumbangkan di dalam konteks yang lebih luas terutamanya dalam sumbangan menyebarkan luaskan lagi Islam dan menambah baik kondisi masyarakat Islam itu sendiri.

Cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a
Rasulullah s.a.w tidak pernah memarahi Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w sentiasa menyebut nama dan segala kebaikan Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w tidak pernah tidak menyebut nama Sayyidah Khadijah r.a sebelum keluar daripada rumah baginda s.a.w sehingga telah timbul kecemburuan di hati Saidatina Aisya r.a.

Berkata Saidatina Aisyah r.a ; “Mengapakah nama Khadijah itu sentiasa dibibirmu sedangkan beliau telah tiada dan Allah telah menggantikan yang lebih baik untukmu ya Rasulullah?”

Rasulullah berasa begitu marah apabila mendengar persoalan itu lalu baginda s.a.w bersabda;
”Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak”. (Riwayat At Tabrani)

Rasulullah s.a.w sentiasa memberikan hadiah kepada saudara mara dan sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a. Apabila Rasulullah s.a.w menyembelih kambing, baginda s.a.w tidak pernah lupa untuk memberikan beberapa bahagian untuk sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a Betapa cinta dan kasihnya Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a. Walaupun Sayyidah Khadijah r.a telah meninggalkan Rasulullah s.a.w tetapi baginda s.a.w tetap sentiasa menjaga hubungan baginda s.a.w dengan saudara mara dan sahabat Sayyidah Khadijah r.a

Untuk kita bagaimana pula? Sudahkah ada cinta dan kasih sayang kita pada Sayyidah Khadijah r.a.

Fahami dan Hayatilah Perjuangan Sayyidah khadijah r.a
Penulisan ini sebenarnya tidak layak dan tidak mampu untuk menggambarkan siapa sebenarnya insan yang mendapat tempat teristimewa di hati Rasulullah s.a.w. Namun, dalam usaha untuk mengenali, mencintai dan mentauladani suri hati Rasulullah s.a.w ini, hati tekad untuk menulis sedikit tentang Sayyidah Khadijah r.a dengan harapan dapatlah diri menagih cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w apatah lagi syafaat baginda s.a.w yang di dambakan.

Fahamilah perjuangan Sayyidah Khadijah r.a!

Kami bertawassul dengan Hababah (Sayyidah Khadijah r.a.)
Dan juga Fatimah Al Batul r.a perempuan yang baik lagi bersih
Nabi s.a.w dan juga sahabat
Semoga doa dimakbulkan

Sesungguhnya dengan Allah aku mengharap
Di pintuNYA aku sentiasa bermunajat
Moga-moga Dia akan memperelokkan perangaiku yang buruk
Dan memudahkan segala kesusahanku

Tuhanku! Kuatkanlah keazaman kami dan bantulah agama Islam
Syafaatkanlah Al-Mukhtar r.a pada kami
Dan masukkanlah kami ke dalam kumpulannya.

Penghulu segala Rasul yang mulia
Pembawa petunjuk ke arah kesejahteraanku
Moga-moga Engkau menghapuskan kesakitanku
Dengan kemuliaan orang-orang yang mempunyai hubungan nasab dan kerabat dengan baginda s.a.w
(Rantaian Mutiara : Al Arif Billah Ali Ibn Muhammad Ibn Husin Al Habsyi r.a)

Rujukan:

1.Manaqib Sayyidah Khadijah Al-Kubro
Al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani

2.Catatan Ringkas saya ketika menghadiri Haul Sayyidah Khadijah Al Kubro, 2010, disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki dan Habib Zainal Abidin.


Friday, May 26, 2017

Belum Kunjung Tiba


Sering aku mengirimkan salam
Melalui mereka yang berangkat ke sana
Dalam doa tanpa dilupa
Moga rezeki menjejakkan kaki
Di Raudahmu yang mulia
Inginku ucapkan salam
Salam terindah buatmu Rasul Junjungan
Assalamualaykum ya Rasulullah!

2 Disember 2016
Singapura

Thursday, May 18, 2017

Madah Ibuku


Ku tatap wajah ibu dikala ia lena
Dibuai mimpi malam nan indah
Lelah berjuang menyumbang keringat
Khidmat bakti di rumah Allah

Katanya aku hanya mahu mengumpul amal
Aku tidak pandai mengajar
Aku bukan kaya raya menghulur bantuan
Tapi aku dengan tulang keringatku
Berkhidmat di rumah Allah

Ibuku tak pernah jemu
Jauh sekali merasa malu
Mencari pandai membaca kalam Tuhan
Yakinnya pada janji yang Esa
Berkat hormatnya pada sang guru
Terpahat namanya sebagai ahli Al-Qur'an


17 Mei 2017
Kuching

Thursday, May 11, 2017

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

Segala puji dan syukur hanya kepada Allah SWT atas ni’mat Iman dan Islam serta ni’mat  menjadi ummat Nabi Muhammad s.a.w. Haruman selawat dan salam buat Rasul Junjungan s.a.w, para keluarga dan para sahabat baginda mudah-mudahan bertambah mahabbah dan kecintaan kepada baginda s.a.w


Alhamdulillah, pada usia yang bakal mencecah tiga dekad ini, saya direzekikan oleh Allah SWT untuk mengenali satu hari kebesaran Allah SWT iaitu Malam Nisfu Sya’ban. Sejujurnya, saya pada imbasan sejarah kehidupan tidak mempunyai keinginan untuk mengetahui Malam Nisfu Sya’ban. Pada saya, ianya sesuatu sambutan kebiasaan bagi masyarakat Islam. Sehinggalah satu ketika Allah SWT memberikan rezeki kepada saya untuk belajar mengenali seorang insan yang sangat mulia di sisi Allah SWT, pembawa rahmat sekalian alam, Nabi Muhammad s.a.w melalui guru yang dikasihi Al Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin As Sanusi.

Makalah ini merupakan ringkasan dari rujukan utama saya  Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban oleh Al Muhaddith Al Hafiz Syeikh Salim Al Sanhuri Al Maliki r.a, diterjemahkan oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin As Sanusi. Tujuannya adalah untuk mengingatkan diri saya tentang kelebihan Malam Nisfu Sya’ban dan bagaimana Rasulullah s.a.w menyambut malam yang istimewa ini. Juga saya kongsikan buat pembaca semoga bertambah kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.

Dalam usaha kita untuk lebih mengenali, mencintai dan akhirnya terbit kerinduan kepada Rasulullah s.a.w, di antara jalannya ialah dengan mengambil tahu dan berusaha mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di Bulan Sya’ban. Kurang daripada 15 hari sahaja lagi akan datang bulan yang penuh mulia dan Bulan Barakah, Bulan Ramadhan Al Mubarak. Untuk lebih menghayati Bulan Ramadhan, Bulan Rejab dan Bulan Sya’ban dijadikan kelas persediaan untuk memasuki gerbang Ramadhan.

Mengenali Bulan Sya’ban dan Malam Nisfu Sya’ban

Jika Bulan Rejab dikenali dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, maka Bulan Sya’ban dikenali dengan kelebihan Malam Nisfu Sya’ban manakala Bulan Ramadhan dengan kelebihan Lailatul Qadar. Nisfu Sya’ban terhasil daripada dua perkataan iaitu Nisfu yang bermaksud setengah manakala Sya’ban beerti Bulan Kelapan dalam bulan-bulan Islam. Di dalam Raudhah al-Ulama’ diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Apakah kamu tahu kenapa dinamakan Sya’ban? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNYA sahaja yang mengetahui. Baginda s.a.w bersabda: Kerana ia bercabang-cabang(amat menonjol) padanya kebaikan yang banyak.”

Nisfu Sya’ban mempunyai banyak nama-nama lain. Di antaranya ialah;

1.    Lailah Al Mubarakah
Ianya bermaksud malam yang berkat. Daripada Sayyidah Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Allah melimpahkan kebaikan pada empat malam dan dari keempat empat malam tersebut, Baginda s.a.w menyebut malam Nisfu Sya’ban”

2.    Lailah Al Qasamah dan Al Taqdir
Ianya bermaksud malam pembahagian qadha’ dan qadar. Diriwayatkan bahawa Sayyidah Aisyah r.a berkata;

“Rasulullah s.a.w berpuasa sehingga kami berkata Baginda s.a.w tidak berbuka, dan Baginda s.a.w berbuka sehingga kami berkata Baginda s.a.w tidak berpuasa dan kebanyakan puasa Baginda s.a.w ialah pada Bulan Sya’ban. Maka aku berkata, “Wahai Rasulullah! Aku melihat kebanyakan puasamu ialah pada Bulan Sya’ban.” Jawab Baginda s.a.w, “Wahai Aisyah! Sesungguhnya ia adalah bulan diserahkan kepada malaikat maut nama-nama yang akan dicabut nyawanya dan aku suka namaku ditulis melainkan ketika aku sedang berpuasa.”

3.    Lailah Al Takfir
Ianya bermaksud malam penghapusan dosa. Didatangkan daripada Al Subki di dalam tafsirnya bahawa sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah, nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya selama setahun. Sesiapa yang menghidupkan malam Jumaat, akan dihapuskan dosanya selama seminggu dan sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar akan dihapuskan dosanya seumur hidup.

4.    Lailah Al Ijabah
Ianya bermaksud malam yang diperkenankan permohonan. Imam Syafi’i r.a berkata di dalam al Umm;

“Telah sampai kepada kami bahawa doa yang dimustajabkan (diterima oleh Allah) ialah doa pada lima malam: Malam Jumaat, Malam Hari Raya Adha , Malam Hari Raya Fitri, awal Malam Bulan Rejab dan Malam Nisfu Sya’ban.”

5.    Lailah Al Hayah
Ianya dinamakan sebegitu rupa kerana Allah SWT menghidupkan hati orang yang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban sebagaimana di dalam Tarikh al Munziri (marfu’), Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari Raya (‘Idul Adha dan ‘Idul Fitri) dan malam Nisfu Sya’ban, tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati mati”

Maksudnya di sini ialah Allah SWT tidak merosakkan hatinya dengan kecintaan terhadap dunia yang memutuskannya daripada melakukan amalan kebaikan dan kewajipan agama, sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith;

“Janganlah kamu duduk bersama orang yang telah mati”

Maksud orang yang telah mati ialah orang yang telah rosak hatinya dengan kecintaan terhadap dunia. Maksdu tidak rosak hatinya ialah hatinya tidak kebingungan semasa dicabutkan nyawa, semasa berada di dalam kubur dan pada Hari Kiamat.

6.    Lailah Al Syafa’ah
Ianya bermaksud Malam Syafa’at. Pada malam Nisfu Sya’ban merupakan malam termakbulnya kesempurnaan syafa’at untuk umatnya pada malam ke 13 Sya’ban. Maka pada malam tersebut, Allah menganugerahkan kepada Baginda s.a.w memberikan syafa’at kepada satu pertiga daripada umatnya, malam yang ke 14 pula diberikan kepada dua pertiga daripada umatnya dan pada malam ke 15, Rasulullah s.a.w diizinkan memberikan syafa’at kepada seluruh umatnya melainkan orang yang melarikan diri daripada Allah seperti seekor unta yang lari dari tuannya, iaitu orang yang berterusan melakukan maksiat.
Terdapat nama-nama lain bagi malam Nisfu Sya’ban di antaranya Lailah al Baraah (malam perlepasan), ‘Id Al Malaikah (malam hari raya bagi Malaikat), Lailah al Ta’zim (malam kebesaran), Lailah al Qadr (malam penentuan), Lailah al Ghufran (malam pengampunan) dan Lailah al ‘Itq min al Nasr (malam pembebasan dari api neraka).

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban
1.    Malam Pengampunan
Dikeluarkan oleh al Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Sayyidah Aisyah r.a berkata;

“Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah s.a.w, maka aku pun keluar mencarinya dan menemui Baginda s.a.w di Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit. Maka baginda s.a.w bersabda; “Adakah kamu taku Allah dan RasulNYA menzalimimu?”. Sayyidah Aisyah r.a berkata; “Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain.” Baginda s.a.w bersabda; “Sesungguhnya Allah SWT (rahmat Allah) turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban, maka DIA mengampunkan dosa-dosa hambaNYA lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab (Bani Kilab adalah antara kaum yang paling banyak menternak kambing).

2.    Malam Mustajab Doa
Dari hadith Abdur Rahman ibn Salam dengan sanadnya daripada Uthman bin Abi al ‘As r.a berkata: Rasulullah s.a.w;

“Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban dan telah berlalu sepertiga malam, maka rahmat Allah SWT turun ke langit dunia, lalu Allah SWT berfirman; “Adakah terdapat orang berdoa, maka Aku akan memakbulkan doanya. Adakah terdapat orang yang meminta keampunan,maka Aku akan mengampunkannya. Adakah terdapat orang yang bertaubat, maka Aku akan menerima taubatnya. Maka diampunkan dosa orang yang beriman melainkan pelacur yang berusaha mendapatkan rezeki dengan kemaluannya, ataupun orang yang mengambil cukai dengan jalan yang tidak hak atau orang yang bermusuhan dengan saudaranya.”

Menghidupkan Malam Nisfu Sya’ban

Diriwayatkan oleh al Asbahani di dalam Trghib daripada Muaz ibn Jabal r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesiapa yang menghidupkan lima malam, maka wajiblah baginya syurga; di antaranya malam Tarwiyyah (malam 8 Zulhijjah) dan malam Nisfu Sya’ban.”

Diriwayatkan daripada hadith Umar ibn Uthman ibn Kathir ibn Ziyad dengan sanadnya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dan dua malam Raya, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati mati.”

Adalah lebih utama malam tersebut dihidupkan dengan solat Tasbih sebagaimana diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada bapa saudaranya Al Abbas r.a dan kaum kerabat Baginda s.a.w yang lain. Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abbas Ibn Abdul Mutallib r.a :

“Wahai Abbas! Wahai bapa saudaraku! Mahukah kamu sekiranya aku berikan sesuatu kepadamu? Mahukah kamu sekiranya aku anugerahkan sesuatu kepadamu? Mahukah kamu aku mengurniakan sesuatu kepadamu? Apakah kamu mahu aku memberitahu kepadamu sepuluh perkara yang apabila kamu melakukannya, Allah akan mengampunkan dosamu, yang awal dan akhir, yang lama dan baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil dan besar, yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan terang-terangan: Sepuluh perkara itu ialah solat empat raka’at. Dibaca setiap raka’at Fatihah Al Kitab dan satu surah. Apabila selesai kamu membacanya pada raka’at pertama (sebelum ruku’) dan ketika kamu masih berdiri, maka bacalah:

(Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar ) sebanyak 15 kali. Kemudian hendaklah kamu ruku’ dan membacanya ketika kamu sedang ruku’ sebanyak 10 kali. Kemudian angkat kepalamu dari ruku’. Maka hendaklah kamu membacanya sebanyak 10 kali. Kemudian sujud dan kamu membaca sebanyak 10 kali. Kemudian angkat kepalamu dan kamu membacanya sebanyak 10 kali. Maka yang demikian itu, menjadi sebanyak 75 tasbih pada setiap raka’at. Kamu lakukanlah sedemikian pada keempat-empat raka’at. Sekiranya kamu mampu melakukannya setiap hari sekali maka lakukanlah. Sekiranya kamu tidak mampu melakukannya, maka lakukannya setiap Jumaat sekali. Sekiranya kamu tidak mampu melakukannya, maka lakukanlah pada setiap bulan sekali. Sekiranya kamu tidak mampu melakukannya, maka lakukannya setahun sekali. Sekiranya kamu tidak mampu juga melakukannya, maka lakukanlah sekali seumur hidup kamu.”

Doa Malam Nisfu Sya’ban

“ Ya Allah! Wahai Tuhan yang mempunyai pemberian dan tidak ada sesiapa yang memberi kepadaNYA. Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia! Wahai Tuhan yang mempunyai kekuatan dan nikmat, tiada Tuhan melainkan Engkau, Penolong bagi orang yang datang berlari kepadaMU, Penjaga orang yang meminta perlindungan, Pengaman orang-orang yang takut, sekiranya Engkau menulis akan daku di sisiMU di dalam Ibu Segala Suratan sebagai orang yang celaka, maka padamkanlah namaku daripada kumpulan orang yang celaka itu dan tetapkanlah daku di sisiMU sebagai orang yang bahagia. Sekiranya Engkau menulis namaku di sisiMU di dalam Ibu segala Suratan sebagai orang yang diharamkan dari rezekiku, maka hapuskanlah pengharaman ke atas diriku itu dan permudahkanlah rezekiku serta tetapkanlah daku di sisiMU sebagai orang yang bahagia dan mendapat taufiq untuk melakukan kebaikan kerana Engkau telah berfirman di dalam KitabMU yang telah Engkau turunkan:

“Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNYA dan Dia juga yang menetapkan apa jua yang dikehendakiNYA. Dan ingatlah di sisiNYA ada ‘Ibu Segala Suratan’
 (Surah Ad Dukhan : ayat 4)

Kami memohon kepadaMU agar Engkau menghapuskan daripada kami sebarang bala yang kami ketahui, yang tidak akan kami ketahui dan lebih Engkau ketahui. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa dan Maha Mulia. Selawat dan Salam ke atas penghulu kami Muhammad Nabi yang Ummi dan ke atas ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya”
Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa saya yang lemah ini.

Sumber Rujukan Utama:

1.    Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban, Al Muhaddith Al Hafiz Syeikh Salim Al Sanhuri Al Maliki r.a, diterjemahkan oleh Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki, Cetakan Kedua 2009 Sofa Production.

2.    Persoalan Khilafiah dan Penjelasan Ulama’, Ustaz Muhaddir Bin Hj Jol, Mawleed Publishing

Wednesday, October 12, 2016

Secebis Kisah : Kesungguhan Imam Ahmad bin Hambal dalam Menuntut Ilmu




Imam Ahmad bin Hambal rahimahullahu Taala tidak pernah meninggalkan pena dan tempat tintanya ke mana sahaja beliau pergi. Ianya seumpama seorang askar yang tidak pernah tertinggal senjata dan senantiasa di sisinya. Pernah seseorang melihat Imam Ahmad bin Hambal rahimahullahu Taala sedang memegang tempat tinta di tangannya sambil menulis dan mendengar, maka dia mengajukan satu soalan kepada beliau, "Mengapakah kau sentiasa membawa pen dan mencatat segala ilmu yang  didengar sedangkan engkau telah menghafal satu juta hadis Nabi sallahu ‘alayhi wa alihi wassalam". Imam Ahmad bin Hambal rahimahullahu Taala menyatakan "Aku akan bersama-sama dengan alatulis ku sehingga aku masuk ke dalam liang kubur". Ini membuktikan bahawa menuntut ilmu itu tiada sempadan dan tiada had batasan.

Kisah Imam Ahmad bin Hambal rahimahullahu Taala telah mengingatkan saya akan nasihat yang telah disampaikan oleh guru tercinta, Dato' Haji Muhammad Fuad bin Kamaluddin. Beliau menyatakan   “Apabila kalian mendengar apa-apa maklumat atau ilmu pengetahuan, maka catatlah, tulislah, simpan dan peliharalah ia. Namun harus diingat, tidak semua benda yang kita dengar, kita boleh sampaikan atau kongsikan kepada orang lain kerana belum pasti kebenarannya. Di sinilah kebijaksanaan kita diperlukan dalam menyaring maklumat-maklumat yang kita perolehi dalam menentukan kebenaran akan ilmu itu atau sebaliknya sebelum disampaikan kepada orang lain".

Kata beliau lagi, "Jikalau kamu menyampaikan segala yang kamu dengar, tanpa kamu menyaring dan memastikan kebenarannya, maka tanpa kamu sedari kamu akan tergolong dengan golongan pendusta. Jika kamu menyampaikan ilmu, sampaikanlah sesuai dengan kefahaman orang-orang yang mendengar tersebut. Jika tidak demikian, ianya akan mengundang fitnah kepada kamu dan ilmu yang kamu sampaikan"

Dalam biografi Imam Ahmad bin Hambal rahimahullahu Taala, saya temukan sebuah pepatah beliau yang boleh dijadikan sandaran dalam perjalanan kita menuntut ilmu pengetahuan. Kata beliau, "Seseorang disebut pandai selama mana dia menuntut ilmu, jika dia mengira bahawa dia sudah pandai, sebenarnya dia bodoh".

Semoga perkongsian ringkas ini dapat memberikan manfaat kepada yang membacanya.

Rujukan:

1. Catatan peribadi penulis semasa mendengar ucapan guru yang dikasihi, Dato' Haji Muhammad Fuad bin Kamaluddin sempena Majlis Konvokesyen Kolej Islam As Sofa (2015)
2. Biografi Imam Ahmad bin Hambal: Kisan Perjalanan dan Pelajaran Hidup Sang Pembela Sunnah, karya Dr. Tariq Suwaidan (2007)